Aplikasi Hadith 'Markah untuk Salam'


Hadith 'Markah untuk Salam'
Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” -- Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi.

Hadith 'Markah untuk Salam' ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan kepada kita teknik yang Nabi Muhammad gunakan apabila mendorong orang supaya melakukan sesuatu pekerjaan dengan cara yang betul.

Prinsip-prinsip dalam hadith ini adalah:

1. Tunjukkan apa yang betul sahaja

Dalam prinsip ini, jangan ditunjukkan contoh-contoh cara yang tidak betul. Sebagai contoh, apabila mahu menyuruh orang membetulkan cara berdiri semasa solat, jangan ditunjukkan gambar cara berdiri yang salah!

Foto di atas boleh digunakan apabila hendak menunjukkan cara yang betul berdiri dalam solat jamaah. Terangkan bagaimana posisi kaki dan bahu yang betul. Cukup dengan menggunakan foto ini sahaja. Jangan gunakan foto orang-orang lain yang tidak betul cara mereka berdiri.

2. Tunjukkan 3 alternatif teknik yang betul

Dalam prinsip ini, jangan memberikan hanya satu sahaja cara yang betul. Berikan tiga cara yang setiap satunya adalah betul belaka.

3. Tunjukkan 3 darjah ke-betul-an

Dalam prinsip ini, jangan dikatakan bahawa semua acara betul belaka dan serupa belaka. Tunjukkan bahawa ada teknik yang paling betul, sederhana betul, dan setakat betul sahaja.

Aplikasi hadith:

Prinsip: Kepada orang-orang yang melakukan kerja dengan cara yang salah, Nabi Muhammad tidak menyuruh mereka membetulkannya dengan mengatakan cara kerja mereka itu salah.

Aplikasi: Kepada wanita-wanita yang memakai tudung tetapi caranya tidak betul, jangan suruh mereka membetulkan tudung mereka itu dengan mengatakan cara mereka memakai tudung itu salah.

"Tak betul tudung awak tu." (SALAH)
"Pakai tudung bukan macam itu." (SALAH)
"Kalau nak pakai tudung, pakailah betul-betul." (SALAH)
"Awak tu pakai tudung, tapi remos masih nampak." (SALAH)
"Kenapa kepala awak macam bonggol unta?" (SALAH)
"Awak ni nak tutup aurat atau nak berfesyen?" (SALAH)

Kata-kata seperti di atas itu tidak ikut teknik dalam hadith ini. Orang yang mendengar, hatinya sakit. Dia membenci orang yang menegur dirinya.

Kata-kata di bawah ini betul:

"Cara Cik Minah memakai tudung itu betul. 10 markah." (BETUL)
"Cara Datin Molly memakai tudung adalah sangat bagus. 20 markah." (BETUL)
"Cara isteri boss kita memakai tudung paling betul dan cantik. 30 markah." (BETUL)

------------
 
Nota: Percuma! Tuan boleh menerima kiriman dalam emel tuan semua posting dalam blog ini dengan mengisi jendela emel yang disediakan.


No comments:

Post a Comment