Agenda Blog


1. Menerangkan prinsip dan teknik psikologi yang digunakan oleh Nabi Muhammad.

2. Menunjukkan contoh aplikasi bagi setiap prinsip dan teknik psikologi Nabi Muhammad.

Strategi Persuasi Nabi Muhammad


Nabi Muhammad adalah seorang yang sangat tinggi daya pengaruhnya, sehingga padri-padri Kristian dan Yahudi pun dengan rela hati masuk Islam selepas berjumpa dan bercakap-cakap sekali sahaja dengan beliau.

Ada 3 aspek pada sumber daya persuasi Nabi Muhammad:

1. Personaliti beliau sendiri yang menyebabkan orang mudah terpengaruh.

a. Peronaliti beliau sebagai seorang Islam.

b. Personaliti beliau sebagai manusia biasa.

2. Tindakan-tindakan yang beliau lakukan yang menyebabkan orang terpengaruh.

a. Perkara-perkara yang beliau lakukan.

b. Perkara-perkara yang beliau tidak lakukan.

3. Kata-kata yang beliau ucapkan menyebabkan orang mudah dapat menerima mesej yang beliau kemukakan.

a. Kata-kata yang beliau gunakan apabila bercakap.

b. Kata-kata yang beliau tidak gunakan apabila bercakap.

-----

Nota: Tuan dapat menerima semua posting dalam blog ini secara percuma dengan menuliskan alamat emel tuan dalam jendala di tebing kanan blog ini.

Cara Nabi Muhammad Menyatakan Penghargaan Tanpa Mengucapkan 'Terima kasih.'


Apabila Nabi Muhammad menerima budi baik daripada orang lain, beliau tidak mengucapkan kata-kata 'terima kasih' (Arabnya 'syukran') kepada orang itu. Sebaliknya beliau mengucapkan kata-kata yang mendoakan orang  itu.

Hadith 'Nabi Tidak Dapat Tidur' dengan terang menunjukkan cara yang betul dan lebih efektif bagi tujuan:

i. Menyatakan perasaan terhutang budi.
ii. Membalas budi baik yang diterima. 

Kelebihan teknik mendoakan orang yang berbuat baik kepada kita:

i. Kita mendapat pahala atas doa yang kita ucapkan.

ii. Orang yang mendengar ucapan doa kita itu yakin kita benar-benar menghargai kebaikan yang dilakukannya untuk kita. 

iii. Orang itu terdorong membalas doa kita dengan mengaminkannya dan kemudian mendoakan kita pula. Jadi kita berbalas-balas doa-mendoakan. 

Aplikasi hadith ini di tempat kerja:

Ketua-ketua boleh membacakan kata-kata doa apabila anak-anak buahnya menerima arahan ataupun sudah menyiapkan kerja. 

Doa yang diucapkan oleh ketua akan dipersepsi sebagai sesuatu yang sangat ikhlas dan sangat dihargai.

Doa ketua mempunyai nilai motivasi. Doa dapat meningkatkan semangat dan dedikasi kerja anak-anak buah.

Aplikasi hadith ini dalam parenting:
 

Ibu bapa boleh melatih anak-anak supaya mendoakan guru ataupun sesiapa sahaja yang memberi mereka apa-apa, seperti hadiah dan duit raya.

Sejak kecil, latih anak-anak mengucapkan kata-kata doa apabila menerima sesuatu dari ibu bapa. Dari kecil anak-anak sudah biasa mendoakan ibu bapa mereka. Doa anak yang soleh adalah makbul. 

Hadith rujukan: 'Nabi Tidak Dapat Tidur'
Aisyah melaporkan, katanya, "Pada suatu malam Rasulullah tidak dapat tidur. Lalu beliau berkata, 'Mudah-mudahan ada lelaki soleh daripada kalangan sahabatku yang akan datang menjagaku pada malam ini.' Kemudian kami terdengar bunyi senjata. Rasulullah bertanya, 'Siapakah itu?' Orang itu berkata, 'Saad bin Abu Waqas, wahai Rasulullah.' Rasulullah bertanya, 'Apakah yang membuatkan saudara datang?' Saad menjawab, 'Terdetik dalam diri saya perasaan risau tentang Rasulullah. Lalu saya datang bagi menjaga tuan.' Rasullullah berdoa untuknya, kemudian tidur." - Hadith ini terdapat dalam rekod koleksi sahih Muslim


Nabi Muhammad Tidak Mengutuk Orang yang Melakukan Kesalahan


Apakah yang menyebabkan golongan yang melakukan kesalahan menjauhkan diri dari golongan pendakwah?

Poster dakwah ini mempunyai tujuan yang betul dan baik. Poster ini menyuruh kaum wanita supaya memakai pakaian yang mematuhi peraturan agama.

Pada waktu yang sama poster ini juga mengutuk perempuan-perempuan yang sebenar-benarnya menjadi mad'u dakwah.

Konsep pada poster ini tidak mematuhi strategi kempen persuasi yang Nabi Muhammad tunjukkan kepada kita.

Konsep salah pada poster ini adalah: Tunjukkan yang betul dan tunjukkan yang salah.

Apabila Nabi Muhammad menyuruh orang melakukan sesuatu pekerjaan dengan betul dan baik, beliau hanya menunjukkan cara-cara yang betul, sebagai mana dalam hadith 'Markah untuk Salam'.

Dalam hadith 'Markah untuk Salam' Nabi menujukkan 3 contoh cara memberi salam yang betul. Nabi Muhammad tidak menunjukkan contoh memberi salam yang salah.

Kelebihan strategi persuasi Nabi Muhammad adalah jelas.

1. Tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.
2. Tidak menyakiti hati mereka yang masih melakukan kesalahan.
3. Tidak menjatuhkan maruah golongan yang hendak diajak supaya membetulkan cara mereka.

Dalam hadith ini Nabi Muhammad menunjukkan strategi dan teknik yang betul apabila kita melaksanakan kempen kebaikan: Tunjukkan yang betul dan baik sahaja!

Hadith rujukan: 'Markah untuk Salam'
Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” -- Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi
.

Nabi Muhammad Membuang Risiko Sosial di Majlisnya


Salah satu faktor majlis-majlis ilmu yang kita anjurkan tidak dihadiri oleh sesuatu golongan adalah apa yang disebut dengan istilah 'risiko sosial'.

Contoh risiko-risiko sisoal yang mungkin dialami oleh golongan yang tidak mahu datang ke majlis kita itu adalah: 

Berasa dirinya diberi malu
Berasa maruah diribya jatuh
Berasa status dirinya dicemar
Berasa dirinya dihina
Berasa dirnya diperkecilkan
Berasa dirinya diperbodohkan
Berasa dirinya disindir
Berasa dirinya dikutuk
Berasa dirinya dimarah-marahi

Perkataan-perkataan yang Nabi Muhammad gunakan apabila bercakap menjamin tidak ada sesiapa menghadapi risiko sosial. Inilah faktor yang menyebabkan semua jenis manusia berani datang berjumpa Nabi Muihammad, dan mereka berasa selesa duduk dalam majlis beliau. Orang jahat, orang kafir, orang baik-baik, mereka semua berasa selamat daripada risiko disindir, dimarahi, diperbodoh dan diperhina oleh Nabi Muhammad.

Aplikasi: Majlis-majlis agama perlu membuang semua bentuk risiko sosial supaya orang-orang jahat pun suka datang mendengar orang agama bercakap.

------------

Nota: Percuma! Tuan boleh menerima kiriman dalam emel tuan semua posting dalam blog ini dengan mengisi jendela emel yang disediakan.

Aplikasi Hadith 'Markah untuk Salam'


Hadith 'Markah untuk Salam'
Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” -- Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi.

Hadith 'Markah untuk Salam' ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan kepada kita teknik yang Nabi Muhammad gunakan apabila mendorong orang supaya melakukan sesuatu pekerjaan dengan cara yang betul.

Prinsip-prinsip dalam hadith ini adalah:

1. Tunjukkan apa yang betul sahaja

Dalam prinsip ini, jangan ditunjukkan contoh-contoh cara yang tidak betul. Sebagai contoh, apabila mahu menyuruh orang membetulkan cara berdiri semasa solat, jangan ditunjukkan gambar cara berdiri yang salah!

Foto di atas boleh digunakan apabila hendak menunjukkan cara yang betul berdiri dalam solat jamaah. Terangkan bagaimana posisi kaki dan bahu yang betul. Cukup dengan menggunakan foto ini sahaja. Jangan gunakan foto orang-orang lain yang tidak betul cara mereka berdiri.

2. Tunjukkan 3 alternatif teknik yang betul

Dalam prinsip ini, jangan memberikan hanya satu sahaja cara yang betul. Berikan tiga cara yang setiap satunya adalah betul belaka.

3. Tunjukkan 3 darjah ke-betul-an

Dalam prinsip ini, jangan dikatakan bahawa semua acara betul belaka dan serupa belaka. Tunjukkan bahawa ada teknik yang paling betul, sederhana betul, dan setakat betul sahaja.

Aplikasi hadith:

Prinsip: Kepada orang-orang yang melakukan kerja dengan cara yang salah, Nabi Muhammad tidak menyuruh mereka membetulkannya dengan mengatakan cara kerja mereka itu salah.

Aplikasi: Kepada wanita-wanita yang memakai tudung tetapi caranya tidak betul, jangan suruh mereka membetulkan tudung mereka itu dengan mengatakan cara mereka memakai tudung itu salah.

"Tak betul tudung awak tu." (SALAH)
"Pakai tudung bukan macam itu." (SALAH)
"Kalau nak pakai tudung, pakailah betul-betul." (SALAH)
"Awak tu pakai tudung, tapi remos masih nampak." (SALAH)
"Kenapa kepala awak macam bonggol unta?" (SALAH)
"Awak ni nak tutup aurat atau nak berfesyen?" (SALAH)

Kata-kata seperti di atas itu tidak ikut teknik dalam hadith ini. Orang yang mendengar, hatinya sakit. Dia membenci orang yang menegur dirinya.

Kata-kata di bawah ini betul:

"Cara Cik Minah memakai tudung itu betul. 10 markah." (BETUL)
"Cara Datin Molly memakai tudung adalah sangat bagus. 20 markah." (BETUL)
"Cara isteri boss kita memakai tudung paling betul dan cantik. 30 markah." (BETUL)

------------
 
Nota: Percuma! Tuan boleh menerima kiriman dalam emel tuan semua posting dalam blog ini dengan mengisi jendela emel yang disediakan.


Orang Jahat pun Tidak Takut Hadir dalam Majlis Nabi Muhammad


Di mana-mana sahaja Nabi Muhammad berada, tentu ada orang-orang mahu datang dan berada bersama-sama beliau. Tujuan mereka adalah hendak mendengar kata-kata yang beliau ucapkan, baik kata-kata yang ditujukan khusus kepada mereka sendiri ataupun ditujukan kepada orang lain yang ada bersama dalam majlis itu.

Orang-orang jahat pun tidak takut hendak datang berjumpa dengan Nabi Muhammad.

Salah satu faktor yang menyebabkan orang-orang jahat pun suka datang ke majlis Nabi Muhammad adalah apa yang disebut sebagai 'iklim majlis'.

Iklim majlis Nabi Muhammad sentiasa positif dan menjamin keselamatan maruah dan air muka semua orang yang hadir.

1. Apabila bercakap, Nabi Muhammad tidak mengutuk sesiapa.

2. Tidak ada orang yang mendapat malu akibat kata-kata Nabi Muhammad.

3. Jika ada orang mengutuk sesiapa, Nabi Muhammad serta-merta memarahi orang yang mengutuk itu, biarpun yang dikutuknya itu adalah pemabuk yang sedang menjalani hukuman sebat.

Tip Aplikasi:

Apabila berceramah ataupun berkhutbah, jangan marah-marah, jangan kutuk sesiapa pun, baik yang dikutuk itu ada di dalam majlis ataupun tidak ada. Ini bagi memelihara iklim majlis supaya sentiasa positif, barulah nanti orang jahat pun suka datang ke majlis agama dan ke masjid.

-----

Nota: Tuan dapat menerima semua posting dalam blog ini secara percuma dengan menuliskan alamat emel tuan dalam jendala di tebing kanan blog ini.