Cara Nabi Muhammad Menyatakan Penghargaan Tanpa Mengucapkan 'Terima kasih.'


Apabila Nabi Muhammad menerima budi baik daripada orang lain, beliau tidak mengucapkan kata-kata 'terima kasih' (Arabnya 'syukran') kepada orang itu. Sebaliknya beliau mengucapkan kata-kata yang mendoakan orang  itu.

Hadith 'Nabi Tidak Dapat Tidur' dengan terang menunjukkan cara yang betul dan lebih efektif bagi tujuan:

i. Menyatakan perasaan terhutang budi.
ii. Membalas budi baik yang diterima. 

Kelebihan teknik mendoakan orang yang berbuat baik kepada kita:

i. Kita mendapat pahala atas doa yang kita ucapkan.

ii. Orang yang mendengar ucapan doa kita itu yakin kita benar-benar menghargai kebaikan yang dilakukannya untuk kita. 

iii. Orang itu terdorong membalas doa kita dengan mengaminkannya dan kemudian mendoakan kita pula. Jadi kita berbalas-balas doa-mendoakan. 

Aplikasi hadith ini di tempat kerja:

Ketua-ketua boleh membacakan kata-kata doa apabila anak-anak buahnya menerima arahan ataupun sudah menyiapkan kerja. 

Doa yang diucapkan oleh ketua akan dipersepsi sebagai sesuatu yang sangat ikhlas dan sangat dihargai.

Doa ketua mempunyai nilai motivasi. Doa dapat meningkatkan semangat dan dedikasi kerja anak-anak buah.

Aplikasi hadith ini dalam parenting:
 

Ibu bapa boleh melatih anak-anak supaya mendoakan guru ataupun sesiapa sahaja yang memberi mereka apa-apa, seperti hadiah dan duit raya.

Sejak kecil, latih anak-anak mengucapkan kata-kata doa apabila menerima sesuatu dari ibu bapa. Dari kecil anak-anak sudah biasa mendoakan ibu bapa mereka. Doa anak yang soleh adalah makbul. 

Hadith rujukan: 'Nabi Tidak Dapat Tidur'
Aisyah melaporkan, katanya, "Pada suatu malam Rasulullah tidak dapat tidur. Lalu beliau berkata, 'Mudah-mudahan ada lelaki soleh daripada kalangan sahabatku yang akan datang menjagaku pada malam ini.' Kemudian kami terdengar bunyi senjata. Rasulullah bertanya, 'Siapakah itu?' Orang itu berkata, 'Saad bin Abu Waqas, wahai Rasulullah.' Rasulullah bertanya, 'Apakah yang membuatkan saudara datang?' Saad menjawab, 'Terdetik dalam diri saya perasaan risau tentang Rasulullah. Lalu saya datang bagi menjaga tuan.' Rasullullah berdoa untuknya, kemudian tidur." - Hadith ini terdapat dalam rekod koleksi sahih Muslim


No comments:

Post a Comment