Nabi Muhammad Tidak Mengutuk Orang yang Melakukan Kesalahan
Apakah yang menyebabkan golongan yang melakukan kesalahan menjauhkan diri dari golongan pendakwah?
Poster dakwah ini mempunyai tujuan yang betul dan baik. Poster ini menyuruh kaum wanita supaya memakai pakaian yang mematuhi peraturan agama.
Pada waktu yang sama poster ini juga mengutuk perempuan-perempuan yang sebenar-benarnya menjadi mad'u dakwah.
Konsep pada poster ini tidak mematuhi strategi kempen persuasi yang Nabi Muhammad tunjukkan kepada kita.
Konsep salah pada poster ini adalah: Tunjukkan yang betul dan tunjukkan yang salah.
Apabila Nabi Muhammad menyuruh orang melakukan sesuatu pekerjaan dengan betul dan baik, beliau hanya menunjukkan cara-cara yang betul, sebagai mana dalam hadith 'Markah untuk Salam'.
Dalam hadith 'Markah untuk Salam' Nabi menujukkan 3 contoh cara memberi salam yang betul. Nabi Muhammad tidak menunjukkan contoh memberi salam yang salah.
Kelebihan strategi persuasi Nabi Muhammad adalah jelas.
1. Tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.
2. Tidak menyakiti hati mereka yang masih melakukan kesalahan.
3. Tidak menjatuhkan maruah golongan yang hendak diajak supaya membetulkan cara mereka.
Dalam hadith ini Nabi Muhammad menunjukkan strategi dan teknik yang betul apabila kita melaksanakan kempen kebaikan: Tunjukkan yang betul dan baik sahaja!
Hadith rujukan: 'Markah untuk Salam'
Imran bin Husain melaporkan pada suatu masa ada seorang lelaki datang mendekati Nabi Muhammad. Lelaki itu berkata, “Assalamualaikum.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 10 pahala.” Kemudian datang pula seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 20 pahala.” Kemudian datang lagi seorang lain yang berkata, “Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.” Nabi Muhammad berkata, “Dia mendapat 30 pahala.” -- Hadith No. 2689 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi
.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment